KELAB UMNO LUAR NEGARA

 

KELAB UMNO SALFORD & MANCHESTER

Print PDF

TERIMA KASIH DAN SYABAS KEPADA PENGERUSI KULN SALFORD DAN MANCHESTER


Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara mengucapkan sekalung penghargaan kepada Pengerusi Kelab UMNO Salford dan Manchester (KUSMA) sesi 2008/2010 di atas segala sumbangan dan jasanya sepanjang memimpin KUSMA.

Firdaus akan melepaskan jawatannya kerana telah tamat pengajian dan akan pulang ke tanahair tidak lama lagi. Syabas dan Tahniah juga diucapkan kepada beliau yang telah menerima segulung Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam jurusan Kejuruteraan Kimia.

Beliau mula bergiat secara aktif dalam Kelab UMNO semenjak tahun 2006 dan pada ketika itu memegang jawatan Ketua Biro Hal Ehwal Semasa KUSMA sesi 2006/2008. Pada bulan Oktober 2008, beliau telah diberi mandat sebagai Pengerusi untuk menerajui KUSMA bagi tahun 2008 hingga 2010. Pelbagai aktiviti sukan dan akademik telah dijalankan sepanjang 2 tahun tersebut. Pada bulan November 2008, KUSMA telah dianugerahkan sebagai Kelab UMNO Cemerlang di United Kingdom, di mana anugerah telah disampaikan sendiri oleh YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek ketika lawatan beliau ke Manchester.

Dalam kesibukan beliau mengendalikan kelab UMNO, pelajaran tidak pernah sesekali dilupakan. Sebagai bukti, beliau telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Tidak ketinggalan, kesemua ahli jawatankuasa KUSMA yang bergraduasi pada tahun ini juga memperoleh keputusan cemerlang.

Kejayaan ini membuktikan bahawa penglibatan dalam Kelab UMNO secara aktif bukanlah penghalang untuk seseorang berjaya dalam bidang akademik dan ia boleh dijadikan iktibar dan pendorong semangat kepada ahli-ahli kelab UMNO lain yang masih berjuang di bangku Universiti. Menurut Firdaus, "tidak salah untuk kita terlibat dan memainkan peranan penting dalam setiap aktiviti Kelab UMNO, yang penting adalah pembahagian masa dalam bidang akademik dan kokurikulum perlulah efisyen dan teratur". Beliau juga menyatakan kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa bantuan, tunjuk ajar dan sokongan daripada Sekretariat KULN dalam membentuk beliau menjadi pemimpim muda di Manchester.