SESI BERSAMA MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR

Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Shahrin Hilmy (Pengerusi Kelab UMNO Nottingham) menjemput YB Dato’ berbicara tentang perkembangan terkini di Malaysia. Beliau memulakan ucapannya dengan kata-kata penghargaan kepada semua hadirin yang telah sudi meluangkan masa untuk berjumpa dengannya. Seterusnya, YB Dato’ menerangkan sedikit sebanyak tentang latar belakangnya sebagai pelajar Aberystwyth University di United Kingdom beberapa dekad yang lalu.
Sejurus selepas itu, beliau mengulaskan mengenai isu-isu semasa di Malaysia dari segi politik, ekonomi dan hal ehwal rakyat. YB Dato’ menegaskan kepentingan semua rakyat Malaysia untuk berganding bahu dalam mencapai kejayaan dan bukan menjadi jaguh secara individu.
Kata beliau lagi, Rakyat Malaysia harus mengecapi slogan “1Malaysia” dimana setiap bangsa mengambil berat tentang semua rakyat secara keseluruhannya dan bukan sahaja memikirkan kaum sendiri.
Beliau juga menyentuh tentang dasar-dasar baru yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan yang baru dibentangkan di bawah Model Ekonomi Baru, Rancangan Malaysia Ke-10. Dasar-dasar ini diharap akan membentuk rakyat Malaysia untuk berpendapatan tinggi, maju pencapaian, mampu bersaing di arena antarabangsa dan sebagainya. Dasar-dasar tersebut termasuk mengeratkan hubungan ekonomi dengan Negara Asean yang lain dan memupuk peluang yang adil dan saksama kepada semua bangsa Malaysia dari segi ekonomi.
YB Dato’ juga menekankan kepentingan mendaftar sebagai pengundi di Malaysia. Ramai rakyat Malaysia terutamanya yang berada di perantauan telah mengabaikan hak mengundi mereka yang mampu menetapkan pemilihan pemimpin-pemimpin Malaysia yang berwibawa.
Selepas ucapannya, YB Dato’ menjemput para hadirin untuk berdialog dalam sesi soal jawab. Majlis diakhiri dengan jamuan ringan. Kelab UMNO London amat menghargai kesudian YB Dato’ untuk meluangkan masa untuk perjumpaan ini walaupun beliau sedang bercuti bersama keluarga.









