NAJIB SERTAI PELAJAR BERKAMPUNG
DI BANDUNG
BUAT julung kalinya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama kira-kira 6,000 pelajar Malaysia di Indonesia berkampung di Bandung pada Oktober ini bagi menyertai temasya sukan yang baru diperkenalkan iaitu Sukan Bandung 2010.
Selain dijadualkan merasmikan temasya yang berlangsung pada 8 hingga 10 Oktober itu, Najib akan turut meluangkan masa bermesra dan mengenali lebih dekat pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa buah universiti yang terdapat di 17 daerah di Indonesia.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha sedang dibuat untuk memastikan temasya di Bandung itu nanti berjalan lancar termasuk menubuhkan sekretariat lebih awal.
"Kita berharap Perdana Menteri tidak mempunyai halangan di saat akhir dan saya percaya beliau akan hadir untuk merasmikan Sukan Bandung 2010 itu nanti," katanya pada Program Titian Muhibbah dan majlis memperkenalkan Sukan Bandung di ibu negara semalam.
Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andi Mallarangeng yang sedang mengadakan lawatan kerja dua hari ke negara ini. Selain mengadakan rundingan dan kerjasama dua hala mengenai belia dan sukan, Andi bersama pegawai di kementeriannya turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan pegawai KBS dalam acara tenis, futsal, bola tampar, bola jaring dan badminton.
Sukan Bandung adalah temasya sukan pertama membabitkan pelajar Malaysia di Indonesia dan diperkenalkan atas inisiatif KBS dan pihak swasta yang tampil memberi tajaan manakala program pertandingan akan dikendalikan sendiri oleh pelajar.
Sebanyak enam acara akan dipertandingkan pada temasya tersebut iaitu futsal, badminton, bola jaring, tenpin boling, bola tampar dan bola sepak.
Bagaimanapun itu tidak termasuk tiga sukan tradisional yang turut dipertandingkan iaitu congkak, catur dan batu seremban.
Menurut Ahmad Shabery, Sukan Bandung akan dijadikan acara tahunan sama seperti Sukan Nottingham yang dianjurkan lebih awal oleh pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Britain sejak beberapa tahun lalu.
"Bagaimanapun di Indonesia merupakan kali pertama kita anjurkan selepas mengambil kira kejayaan Sukan Nottingham dalam mengeratkan hubungan sesama pelajar ketika mereka berada di negara orang," tegasnya.
Sumber : Kosmo!










