
Bidang kritikal itu termasuk perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial, manakala empat kriteria berkenaan meliputi pencapaian akademik, pembabitan dalam kegiatan kokurikulum, sosioekonomi/latar belakang keluarga dan prestasi temu duga.
Beliau berkata, tahun ini kerajaan menyediakan 1,500 biasiswa bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN), manakala Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) menyediakan 100 penajaan kepada pelajar cemerlang lepasan SPM yang mengikuti pengajian di empat universiti penyelidikan, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).
Di samping itu, katanya, 1,900 penajaan ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan dan kampus cawangan terpilih, seperti Universiti Nottingham dan Universiti Monash dalam bidang kritikal dan strategik.
Beliau berkata, pelajar terpilih akan ditaja pada peringkat matrikulasi, asasi, pra-universiti dan seterusnya ke peringkat ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan semasa pada peringkat kursus persediaan.
Muhyiddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 9 Jun lalu juga bersetuju dengan cadangan penambahan sebanyak 250 penajaan di bawah PILN menjadikan bilangan penajaan meningkat kepada 1,750.
Katanya, PILN ditawarkan khusus untuk lepasan SPM 2009 yang memperoleh keputusan cemerlang berdasarkan kombinasi sembilan mata pelajaran mengikut bidang yang dimohon.
Permohonan PILN dibuka melalui laman web JPA di www.jpa.gov.my mulai 11 hingga 17 Mac lalu dan JPA menerima 18,844 permohonan.
Daripada jumlah itu, 10,956 permohonan diterima daripada kalangan calon yang melepasi kelayakan minimum yang ditetapkan mengikut bidang pengajian. Seramai 465,853 calon menduduki SPM tahun lalu berbanding 442,936 pada 2008.
Muhyiddin berkata, kursus perubatan dan kejuruteraan menjadi pilihan, manakala negara pengajian pilihan majoriti calon ialah United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand.
Beliau berkata, sebanyak 847 tempat disediakan bagi kursus kritikal, seperti perubatan, pergigian dan farmasi di pelbagai negara seperti Australia, New Zealand, India, Republik Czech, Poland dan program berkembar di Kolej Perubatan Pulau Pinang, Kolej Perubatan Manipal Melaka dan Universiti Perubatan Antarabangsa, manakala 410 tempat disediakan bagi kursus kejuruteraan di Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat (AS).
Ketika keputusan PILN diumumkan pada 21 Mei lalu, 59 pelajar menolak tawaran biasiswa JPA manakala 4,298 rayuan diterima termasuk 1,218 daripada calon yang mendapat 9A+.
Beliau berkata, kerajaan memerlukan peruntukan RM1.96 bilion tahun ini bagi menampung kos pengajian 3,750 pelajar.









