RUMAH NEGERI SEMBILAN DI MESIR SEMAKIN BAIK

NASR CITY (Mesir) 21 Feb. - Kerajaan negeri berpuas hati dengan perkembangan pembangunan infrastruktur Rumah Negeri Sembilan di sini yang menjadi penempatan pelajar sejak ia mula dinaik taraf pada 2006.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek pembangunan yang menelan belanja RM1.2 juta itu kini dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk lif di bangunan lapan tingkat itu.
Beliau menjelaskan, kemudahan itu meliputi perpustakaan, gimnasium serta pejabat pengurusan rumah berkenaan.
"Pada lawatan pertama saya ke sini pada 2006, apa yang saya dapat lihat keadaan di sini tidak memuaskan dan ia tidak kondusif bagi pelajar yang tinggal di rumah ini.
"Jadi lawatan saya kali ini bagi melihat perkembangan rumah ini dan saya gembira ia berubah wajah dan lebih selesa untuk anak-anak belajar di sini," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Negeri Sembilan di sini hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Razak Mansor; Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusuf Ahmad dan Pegawai Khas Pelajar Negeri Sembilan, Mohd. Zin Abu.
Dalam lawatan selama lebih sejam itu, Mohamad beramah mesra dengan semua pelajar yang menginap di kawasan kediaman berkenaan selain mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi.
Sementara itu, beliau memberitahu, Program Intensif Asia Barat yang diperkenalkan sejak 2006 mula memperlihatkan keberkesanan dengan beberapa pelajar mendapat keputusan cemerlang (Mumtaz).
Bagaimanapun, jelasnya, masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan dalam memastikan kecemerlangan pelajar dapat diterus dan dikekalkan.
"Secara keseluruhannya, saya melihat kecemerlangan para pelajar di sini semakin meningkat dengan program yang kita perkenalkan dan memberi kesan terhadap penguasaan mata pelajaran yang diambil.
"Malah ada beberapa perkara yang saya lihat perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi pelajar yang mengambil jurusan perubatan walaupun peratusan kelulusan menunjukkan peningkatan mendadak," kata beliau.
Setakat ini 75 peratus daripada 216 pelajar Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian di sini mengikuti jurusan pengajian Islam di Universiti Kaherah, Universiti Ain Syams dan Maahad Qirad Shoubra. - utusan









