MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KELAB UMNO JAKARTA KE PANGALENGAN, JAWA TENGAH

Pada tanggal 18 Disember 2009 yang lepas, Kelab UMNO Jakarta (KUJ) telah menganjurkan misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di daerah Pangalengan yang telah mengalami kerusakan teruk ketika bencana gempa bumi berukuran 7.3 Skala Ritcher melanda kawasan tersebut. Antara bantuan yang dihulurkan antara lain ialah seperti beras, bahan asas makanan, pakaian terpakai, kasut, selimut, baju sejuk dan sebagainya.
Misi bantuan kemanusiaan tersebut disertai oleh para AJK KUJ iaitu Saudari Khairunnisa (Bendahari KUJ, Uni. Indonesia), Saudari Fariza (Exco Kebajikan KUJ, Uni. Moestopo), Saudara Ahmad Akmal Rashid (Exco Tugas Khas KUJ, UKRIDA), Saudara Hamidie (Exco Kebudayaan KUJ, Uni. Moestopo), Saudari Siti Nur Hidayah Yahya (Exco Pendidikan KUJ, Uni. Moestopo) dan Saudari Zazarida (Exco Tugas Khas KUJ, Uni. Indonesia).
Anggota misi tersebut memulakan perjalanan mereka dari Jakarta seawal jam 5 pagi. Mereka tiba di sana kira – kira jam 11 pagi disambut dengan mesra oleh penduduk setempat yang diketuai oleh Pak Zainal. Pak Zainal selaku wakil penduduk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan ribuan terima kasih kepada KUJ khasnya dan para mahasiswa dan masyarakat Malaysia di Jakarta umumnya kerana mengambil berat dan sudi menghulurkan bantuan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung selepas kejadian gempa tersebut.
Antara aktiviti yang dijalankan di sana ialah lawatan ke rumah mangsa gempa bagi melihat kondisinya, dan pengagihan barang sumbangan kepada warga setempat. Misi tersebut berlangsung kira – kira hingga jam 3 petang.
Diharapkan program bermanfaat seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang dan kesinambungannya dalam membantu orang yang memerlukan tidak mengira agama, kewarganegaraan dan bangsa bak kata pepatah ’berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua yang menjayakan misi bantuan mangsa gempa ini termasuklah seluruh warga mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Jakarta, Malaysia Club Jakarta (MCJ) dan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.









